SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini ditubuhkan oleh Roman Catholic Mission pada tahun 1945 dan dinamakan Sekolah St. Michael yang menumpang di bangunan Gereja (Chapel) St. Anthony yang terletak di Kampung Tellian Ulu, Mukah.
Oleh kerana bilangan murid di sekolah ini bertambah ramai, maka dalam tahun 1964, Majlis Daerah Mukah membina sebuah bangunan sekolah yang kedua yang berukuran dua puluh kaki lebar dan sembilan puluh lapan kaki panjang. Ianya dibuat daripada kayu, beratap rumbia, mempunyai tiga buah kelas dan sebuah bilik staf/guru. Dengan adanya bangunan tambahan ini, maka sekolah dapat memulakan kelas tahun lima dan seterusnya tahun enam. Pada tahun 1968, atap rumbia kedua-dua buah bangunan sekolah ini telah digantikan dengan atap belian.
Sejak Sarawak merdeka melalui Malaysia, sekolah ini telah diambilalih oleh kerajaan dan dinamakan Sekolah Rendah Kerajaan Kampung Tellian, Mukah. Dalam tahun 1982, kerajaan membina sebuah bangunan tambahan, bangunan yang ketiga, dua tingkat berukuran tiga puluh empat kaki dan seratus lima puluh empat kaki panjang. Kemudahan ini membolehkan semua murid sekolah ini dapat mengikuti satu sesi persekolahan iaitu sesi pagi sahaja. Di samping itu, satu unit rumah guru kelas IV, tiga unit berek guru, sebuah kantin sekolah, sebuah tempat letak kereta dan sebuah bangunan tandas juga telah dibina. Semua projek ini menelan belanja RM435,000.00. Projek ini siap dan mula digunakan pada tahun 1984 dan dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Sarawak pada 31 Julai 1986. Dengan adanya kemudahan ini, semua murid sekolah ini dapat mengikuti satu sesi persekolahan iaitu sesi pagi sahaja.
Pada tahun 1987, sebuah padang bola sepak seluas tujuh puluh meter kali seratus meter telah diperbaiki oleh kerajaan. Pada tahun 1994, PIBG sekolah di bawah Projek Kemajuan Kampung telah merobohkan bangunan sekolah kedua dan membina sebuah Dewan Serbaguna PIBG yang berukuran empat puluh meter lebar dan lapan puluh meter panjang. Ianya dibuat daripada kayu, berlantai konkrit, beratap zink dan mempunyai sebuah pentas. Pada tahun 1995, atap belian bangunan pertama telah ditukar kepada zink spandax dan dipasang siling. Dinding dan lantai yang buruk pula telah digantikan dan diperbaiki dengan peruntukan sebanyak RM40,000.00.
Mulai tahun 2003 setelah dilakukan pemeriksaan oleh pihak JKR didapati bangunan sekolah tidak lagi selamat untuk digunakan. Oleh yang demikian pihak Jabatan Pelajaran pada ketika itu telah mencadangkan agar sesi P&P dilaksanakan di SK Mukah di mana masih terdapat banyak kekosongan dan dikira masih dapat menampung kesemua pelajar-pelajar SK Tellian. Sesi persekolah Januari 2004 merupakan satu titik permulaan di mana SK Kampung Tellian mula menggunakan sebahagian daripada Blok SK Mukah sebagai tempat P & P dijalankan. Sehingga hari ini SK Tellian masih menumpang di SK Mukah tetapi dengan hasrat yang tetap membara untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi terutamanya bidang yang berkaitan dengan pendidikan.
Latarbelakang Ibu-bapa, Komuniti dan keadaan Persekitaran Luar Sekolah
Kampung Tellian merupakan sebuah perkampungan Nelayan dan Petani. Kebanyakan penduduknya adalah terdiri daripada kaum Melanau dengan kelompok kecil kaum cina dan etnik lain yang berhijrah ke Mukah. Dari segi komposisi kaum mengikut agama, Kampung Tellian mempunyai majoriti penduduknya beragama Kristian , Pagan dan Islam. Kampung Tellian terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Kampung Tellian Laut, Tellian Tengah dan Tellian Ulu.