Jumaat, 15 Januari 2010

Latar Belakang Sekolah




SEJARAH SEKOLAH

Sekolah ini ditubuhkan oleh Roman Catholic Mission pada tahun 1945 dan dinamakan Sekolah St. Michael yang menumpang di bangunan Gereja (Chapel) St. Anthony yang terletak di Kampung Tellian Ulu, Mukah.

 Pada tahun 1952, sekolah ini diambilalih oleh Mukah Local Authority dan ditukarkan namanya kepada Sekolah Rendah Kampung Tellian, Mukah. Dalam tahun 1959, sebidang tanah seluas 2.86 ekar di Kampung Tellian Tengah, Mukah telah pun dibuka oleh penduduk kampung secara gotong-royong di lokasi sekarang. Pada tahun 1959 juga, Mukah Local Authority membina sebuah bangunan sekolah yang pertama berukuran dua puluh kaki lebar dan lapan puluh kaki panjang. Ia dibuat daripada kayu, beratap rumbia dan mempunyai tiga buah bilik kelas sahaja. Kelas-kelas yang diadakan hanya tahun satu hingga tahun empat sahaja.

Oleh kerana bilangan murid di sekolah ini bertambah ramai, maka dalam tahun 1964, Majlis Daerah Mukah membina sebuah bangunan sekolah yang kedua yang berukuran dua puluh kaki lebar dan sembilan puluh lapan kaki panjang. Ianya dibuat daripada kayu, beratap rumbia, mempunyai tiga buah kelas dan sebuah bilik staf/guru. Dengan adanya bangunan tambahan ini, maka sekolah dapat memulakan kelas tahun lima dan seterusnya tahun enam. Pada tahun 1968, atap rumbia kedua-dua buah bangunan sekolah ini telah digantikan dengan atap belian.

Sejak Sarawak merdeka melalui Malaysia, sekolah ini telah diambilalih oleh kerajaan dan dinamakan Sekolah Rendah Kerajaan Kampung Tellian, Mukah. Dalam tahun 1982, kerajaan membina sebuah bangunan tambahan, bangunan yang ketiga, dua tingkat berukuran tiga puluh empat kaki dan seratus lima puluh empat kaki panjang. Kemudahan ini membolehkan semua murid sekolah ini dapat mengikuti satu sesi persekolahan iaitu sesi pagi sahaja. Di samping itu, satu unit rumah guru kelas IV, tiga unit berek guru, sebuah kantin sekolah, sebuah tempat letak kereta dan sebuah bangunan tandas juga telah dibina. Semua projek ini menelan belanja  RM435,000.00. Projek ini siap dan mula digunakan pada tahun 1984 dan dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Sarawak pada 31 Julai 1986. Dengan adanya kemudahan ini, semua murid sekolah ini dapat mengikuti satu sesi persekolahan iaitu sesi pagi sahaja.


Pada tahun 1987, sebuah padang bola sepak seluas tujuh puluh meter kali seratus meter telah diperbaiki oleh kerajaan. Pada tahun 1994, PIBG sekolah di bawah Projek Kemajuan Kampung telah merobohkan bangunan sekolah kedua dan membina sebuah Dewan Serbaguna PIBG yang berukuran empat puluh meter lebar dan lapan puluh meter panjang. Ianya dibuat daripada kayu, berlantai konkrit, beratap zink dan mempunyai sebuah pentas. Pada tahun 1995, atap belian bangunan pertama telah ditukar kepada zink spandax dan dipasang siling. Dinding dan lantai yang buruk pula telah digantikan dan diperbaiki dengan peruntukan sebanyak RM40,000.00.


 Mulai tahun 2003 setelah dilakukan pemeriksaan oleh pihak JKR didapati bangunan sekolah tidak lagi selamat untuk digunakan. Oleh yang demikian pihak Jabatan Pelajaran pada ketika itu telah mencadangkan agar sesi P&P dilaksanakan di SK Mukah di mana masih terdapat banyak kekosongan dan dikira masih dapat menampung kesemua pelajar-pelajar SK Tellian. Sesi persekolah Januari 2004 merupakan satu titik permulaan di mana SK Kampung Tellian mula menggunakan sebahagian daripada Blok SK Mukah sebagai tempat P & P dijalankan. Sehingga hari ini SK Tellian masih menumpang di SK Mukah tetapi dengan hasrat yang tetap membara untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang diceburi terutamanya bidang yang berkaitan dengan pendidikan.


 

 

Latarbelakang Ibu-bapa, Komuniti dan keadaan Persekitaran Luar Sekolah

 

Kampung Tellian merupakan sebuah perkampungan Nelayan dan Petani. Kebanyakan penduduknya adalah terdiri daripada kaum Melanau dengan kelompok kecil kaum cina dan etnik lain yang berhijrah ke Mukah. Dari segi komposisi kaum mengikut agama, Kampung Tellian mempunyai majoriti penduduknya beragama Kristian , Pagan dan Islam. Kampung Tellian terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Kampung Tellian Laut, Tellian Tengah dan Tellian Ulu.


 Kampung Tellian Tengah dan Tellian Ulu merupakan penyumbang utama pelajar-pelajar sekolah ini. Dengan keadaan Bandar Mukah yang pesat membangun dan peredaran zaman yang memerlukan pendidikan sebagai landasan untuk berjaya di masa depan, penduduk-penduduk Kampung Tellian juga tidak ketinggalan dalam menyahut seruan kerajaan iaitu untuk mengutamakan pendidikan anak-anak. Justeru itu jumlah pelajar semakin bertambah dan sekolah ini semakin berkembang dari sehari ke sehari dengan bilangan kelas yang semakin bertambah juga.

 Dari segi kerjasama dan penglibatan, komuniti Kampung Tellian amat prihatin dan banyak memberi bantuan dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah mahupun yang dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran , sebagai contoh Program anak angkat Kadet Remaja Peringkat Kebangsaan dan Program Homestay Cabaran Mukah peringkat Kebangsaan. Secara umumnya sekolah tidak banyak menghadapi masalah dalam urusan yang berkaitan dengan pendidikan anak-anak atau pelajar sekolah ini.

 Perkara yang amat menonjol bagi masyarakat Kpg. Tellian ialah perkara yang berkaitan dengan Kebudayaan dan tradisi masyarakat setempat. Budaya melanau masih hidup dengan segarnya dikalangan penduduk tempatan meskipun menempuh gelora arus pembaharuan dan pemodenan. Budaya kehidupan cara melanau, termasuklah adat istiadat, tarian dan pelbagai perkara yang berkaitan masih menjadi amalan harian penduduk tempatan. Tradisi ini diperturunkan dari generasi ke generasi dan ianya melibatkan pelajar-pelajar sekolah ini. Untuk makluman pelajar-pelajar sekolah ini telah diberi kesempatan untuk menunjukkan bakat mereka dalam bidang  tradisi bersama dengan pihak Digi Maxis di Kuala Lumpur.

 Secara umumnya pihak luar terutamnya PIBG, bekas-bekas pelajar dan penduduk Kampung Tellian banyak memberi kerjasama dalam usaha memajukan sekolah ini secara langsung mahupun secra tidak langsung.